Mari Kita Semua Bertaubat Sama Allah Swt, Jangan Ditunda2 dan Jangan Sampai Ajal Menjemput kita tdk Bertaubat Sama Allah Swt.
# Segeralah bertaubat, jangan ditangguh lagi, bimbang tiada lagi kesempatan untuk kita di kala ajal tiba. Sesungguhnya perbuatan bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah SWT sebahagian daripada persiapan penting menghadapi hari pembalasan.
Justeru, marilah kita jadikan amalan segera bertaubat secara istiqamah sebagai rutin kehidupan. Jangan biarkan hari kita berlalu tanpa sebarang penyesalan dan permohonan taubat kepada Allah SWT. Mudah-mudahan taubat kita diterima oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya maut yang kamu melarikan daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta akan membalasnya)." (Surah al-Jumu'ah, ayat 8)
Kotoran yang kelihatan secara zahir boleh dibersihkan dengan mudah. Pakaian kotor, pinggan mangkuk tidak bersih, semuanya mampu dibersihkan dengan bahan pencuci sahaja. Segala dosa dan noda dilakukan akan menjadi kotoran yang menghitamkan hati. Hanya taubat mampu menyucikan kekotoran dalam hati.
Sememangnya pintu taubat dibuka seluas-luasnya oleh Allah SWT buat semua hamba-Nya. Namun, perlu diingat kesempatan untuk bertaubat akan tamat apabila nyawa telah sampai ke halkum. Adakah kita tahu bila nyawa akan berakhir? Bilakah peluang terakhir untuk memohon taubat kepada Allah SWT?
Rebutlah peluang kemurahan kasih sayang Allah SWT menerima taubat hamba-Nya seperti dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari: "Sesungguhnya Allah 'Azzawajalla 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu malam supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu siang bertaubat; dan Allah 'menghulurkan tangannya' (bersedia menerima taubat) pada waktu siang supaya orang yang melakukan kejahatan pada waktu malam bertaubat; sehinggalah matahari terbit dari barat."
Bagi hati yang dipenuhi keinsafan, sudah tentu tidak mahu berterusan berada dalam dosa, sepanjang waktu berusaha mencari jalan membersihkan diri dengan bertaubat supaya dapat beralih daripada kegelapan kepada cahaya hidayah.
Bertaubat adalah suruhan Allah SWT dan amalan rutin Rasulullah SAW yang wajib dilaksanakan dengan segera tanpa berlengah. Malangnya, suruhan ini dipandang sepi dengan alasan 'masa masih panjang lagi.' Alasan ini dangkal dan tiada berasas kerana taubat bukan khusus untuk golongan tua yang kononnya 'rumah kata pergi, kubur kata mari'. Kematian itu tidak pernah mengenal usia.
Sesungguhnya orang yang sengaja melambat-lambatkan bertaubat akan berdepan dengan dua bahaya besar iaitu hatinya menjadi keras dan gelap, sukar menerima nasihat serta kebenaran. Inilah akibat perbuatan maksiat dilakukan kepada Allah sehingga menjadi sangat susah untuk mengikis dan menghapuskannya.
Kedua, maut dalam kemurkaan Allah SWT. Kematian datang sebelum sempat ia bertaubat, lalu ia menemui Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh dosa dan pasti menyeretnya kepada suasana hidup yang tidak selamat di akhirat nanti.
Oleh itu, apabila menyedari telah melakukan dosa, maka segeralah memohon ampun kepada Allah SWT dengan bertaubat. Orang yang bertaubat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh hendaklah yakin Allah SWT pasti menerima taubatnya.
No comments:
Post a Comment